Rabu, 19 Oktober 2011

Manis yang sebentar

   Hidup di dunia manusia tidak terlepas dari rayuan amarah yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. tanpa kita sedari akhirnya kita terjebak juga dengan dosa yang menimbulkan kesan yang berpanjangan dalam hidup kita. Saya teringat pesanan seorang guru kepada saya tempoh hari, katanya " Dosa yang kita lakukan sedetik membawa penyesalan yang berpanjangan dalam hidup kita". Begitulah impak dosa yang kita lakukan.

   Dosa kita boleh umpamakan seperti kopi hitam yang manis dan  roti kita ibaratkan sebagai hati kita. Roti yang putih bersih apabila dicicah dengan kopi akan rasa sedap apabila dimakan. Manakala roti yang kosong tidak terasa enak (kebiasaanya) jika dimakan begitu sahaja . Melalui perbandingan ini kita dapat fahami dengan melakukan dosa kita akan mendapat merasai kemanisan. Padahal kemanisan yang kita rasa itu hanyalah sementara.

   Akibat melakukan dosa hati kita menjadi hitam umpama roti yang dicecah bersama kopi tadi. Semakin kita menelan kemanisan dosa semakin hitamlah hati kita, itulah perumpamaanya. Jadi, wajarkah kita melakukan dosa untuk menghirup kemanisan yang sementara pada masa yang sama kita telah menghilangkan peluang kita untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat nanti. Sama-samalah kita renungkan bersama.

  Para pembaca sekalian, kita sedari dalam kehidupan seharian kita pasti ada dosa yang kita lakukan, sama ada kita sedar atau tidak. Kita akui kita memang lemah melawan pujukan nafsu dan iblis, pada masa yang sama suasana tidak baik di sekeliling memberi kesan pada peribadi kita. Petua  yang ingin saya kongsikan di sini untuk meminimumkan  diri dari terjebak dalam perlakuan dosa pada masa yang sama kita mencari penawar kepada hati kita ialah, jangan biarkan hati kita sunyi dari mendengar nasihat tidak kira daripada siapa pun. Seeloknya kita cuba menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kita pada ALLAH dan hari akhirat.

  Semoga ALLAH permudahkan urusan hamba-hambanya yang ikhlas mencari keredhaaNya. Kita perlu ingat matlamat kita bukan kejayaan dan kebahagiaan di dunia sahaja, tetapi kita turut mengejar kemenangan di akhirat sana, Sedarlah saudara-saudariku yang budiman " Hidayah itu tidak mendatangi kita, sebaliknya kitalah yang berusaha mencarinya" berusahalah!! jangan berputus asa dari rahmat ALLAH..